Sorting by

×

KELUARGA BEKAS PEMAIN BOLA SEPAK KEBANGSAAN LUAH RASA TERHARU

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 18 Jun – “Sebagai anak saya bersyukur dan terharu kerana masih ada pihak yang tampil bertanya khabar dan menghulur bantuan,” itu kata Fahrian Cho Yoon Chhing, anak sulung bekas pemain bola sepak kebangsaan era 1950-an dan 1960-an, Robert Choe Kim Chwee.

Fahrian Cho, 60, berkata, selepas bapanya meninggal dunia pada Januari lalu banyak pihak termasuklah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tampil bertanya khabar dan menyantuni keluarga mereka.

Katanya, sebagai ahli keluarga dia amat terharu kerana sumbangan bapanya yang juga penyerang utama skuad negara suatu ketika itu dulu tidak pernah dilupakan malah secara tidak langsung dapat menceriakan ibunya Cho Yoon Chhing, 87.

“Mewakili keluarga saya amat berterima kasih kepada YAKEB kerana sering mengambil berat walaupun ayah sudah lama tidak bersama pasukan kebangsaan.

“Ini menunjukkan keprihatinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan YAKEB terutamanya dalam menyantuni bekas-bekas atlet yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

“Ayah dulu antara atlet termuda wakil negara boleh katakan ketika itu tidak banyak bantuan untuk atlet tetapi sekarang kebajikan lebih terjaga dan terjamin,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan pada Program ‘Visit & Treat – Skuad YAKEB Prihatin’, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kediamannya di Taman Maylian, Ujong Pasir, di sini, semalam.

Whatsapp image 2025 06 17 at 16.51.52
FAHRIAN

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, lawatan kebajikan diadakan juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara yayasan bersama bekas atlet serta ahli keluarga.

“Saya amat tersentuh kerana bukan selalu dapat berkumpul ramai-ramai dan berkongsi cerita malah raut wajah emak turut ceria.

“Mewakili pihak keluarga saya berterima kasih kepada YAKEB dan diharap kebajikan atlet-atlet lain terus terjamin,” katanya.

Terdahulu, Adam Adli menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada isteri mediang Robert Choe dan dua bekas atlet negara iaitu Samsul Mat Juah (bekas atlet bina badan) serta Wardi Salim (bekas atlet silat).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post PENGAMAL MEDIA MELAKA SERTAI KURSUS AI, TINGKAT KEMAHIRAN DIGITAL
Next post KONDA KONDI NAFAS BAHARU