Sorting by

×

KONDA KONDI NAFAS BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) buat julung kali bakal menganjurkan Pertandingan Konda Kondi Negeri Melaka 2025 menggunapakai format serta syarat yang baharu ditetapkan pada 5 dan 6 Julai depan.

Pengurus Besar BPP, Nasrul Ahmad berkata pertandingan terbuka kepada semua peringkat usia, sekali gus mempopularkan semula permainan tradisional itu yang juga sukan rakyat suatu ketika dahulu.

Katanya, pertandingan dijadualkan berlangsung selama dua hari di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir melibatkan tiga kategori iaitu Sekolah Rendah; Sekolah Menengah dan Dewasa.

“Permainan ini hanya memerlukan kayu ibu, kayu anak dan tapak, peserta akan diberi taklimat berhubung syarat syarat serta kaedah permainan oleh pihak urusetia.

“Kita jemput peminat permainan tradisional untuk bersama-sama memeriahkan pertandingan ini nanti yang secara keseluruhan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM24,000.

“Hadiah disediakan bermula johan hingga pemenang tempat kelapan bagi semua kategori yang dipertandingkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Nasrul berkata penganjuran permainan tradisional itu bertujuan mengangkat semula permainan rakyat agar terus dikenali oleh generasi baharu.

“Kita jadikan pertandingan ini sebagai medan mengeratkan silaturahim antara masyarakat pelbagai lapisan usia.

“Syarat dan format permainan konda kondi ini ditetapkan pihak BPP bersama lapan agensi berkaitan termasuk Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang mana kajian telah dilaksanakan hampir sebulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

702
Kongsi :
Previous post KELUARGA BEKAS PEMAIN BOLA SEPAK KEBANGSAAN LUAH RASA TERHARU
Next post POLIS SIASAT BUNYI LETUPAN, GEGARAN DI IPOH PAGI TADI