
WRUR BEMBAN: LEBIH 130 PROGRAM SASAR SOLUSI ISU RAKYAT
BEMBAN 20 Jun – Lebih 130 program dirancang sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban bermula 22 Jun hingga 5 Julai depan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohd Raziff Yakop berkata, pelbagai pengisian program yang dirancang sepanjang dua minggu program itu berlangsung membabitkan 16 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Bemban.
Beliau memaklumkan, antara fokus utama yang akan diketengahkan sepanjang WRUR DUN Bemban adalah membantu golongan sasar seperti golongan B40, penjaja kecil, petani dan penternak, selain mencari penyelesaian segalah permasalahan rakyat setempat.
“WRUR kali ini meliputi pelbagai aspek, matlamatnya kita mahu Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan mendekati rakyat Bemban dan mereka juga boleh berjumpa terus tanpa melalui karenah birokrasi seterusnya isu dapat diselesaikan.
“Selain itu, kita juga mahu menyelesaikan isu-isu berulang seperti banjir di beberapa lokasi membabitkan Kampung Asam Kumbang dan Lubok Kasau yang telah berlarutan sehingga hampir lapan tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Raziff berkata antara keutamaan lain sudah adalah membabitkan infrastruktur, kemudahan awam melibatkan penambahan bangunan sekolah rendah agama (SRA), pembinaan masjid baharu dan lain-lain lagi.
“Kita juga akan mengangkat pelbagai aspek keselesaan penduduk sekitar seperti penambahan bangunan baharu di SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Tehel dan SRA Air Panas berikutan kelas yang tidak mencukupi.
“Kita juga mahu meminta pembinaan masjid baharu di Jasin Bestari serta beberapa penambahan lain berikutan penambahan penduduk.
“Setakat ini menurut Jabatan Perangkaan, DUN Bemban mempunyai lebih 34,000 jumlah penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.