Sorting by

×

UTEM TERAJU INISIATIF AI, KESELAMATAN SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 20 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggalas amanah negara menerajui dan menjayakan inisiatif terbaharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 menerusi bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Siber.

Peluncuran inisiatif terbaharu TVET Negara 2025 dan peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa komited dan menzahirkan peranan besar dalam menjayakan aspirasi TVET Negara menerusi FAIX.

Jelasnya, peranan UTeM bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu TVET Negara dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kecerdasaran Buatan dan Keselamatan Siber semata-mata malahan lebih dari itu.

“UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.

“Penubuhan FAIX turut memperkukuh kepentingan AI Gunaan (Applied AI) yang merentas pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi, dan sistem pintar.

“Pendekatan rentas disiplin ini adalah kunci dalam menyediakan penyelesaian teknologi yang menyeluruh, mapan dan bernilai tinggi kepada industri dan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam era digital ini, AI dan keselamatan siber bukan lagi bidang pilihan kerana telah menjadi satu keperluan, justeru FAIX turut berperanan sebagai pusat rujukan kebangsaan dan hab penyelidikan serta inovasi AI Gunaan dan keselamatan siber selari dengan keperluan industri dan aspirasi Malaysia Madani.

“Peluncuran FAIX menandakan komitmen UTeM untuk menjadi perintis dalam pembangunan modal insan TVET berteknologi tinggi dan menjadi institusi pendidikan tinggi teknikal yang relevan, responsif dan proaktif dalam menghadapi masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang operasi fizikal FAIX, Massila memaklumkan sehingga kini ia telah dilengkapi dengan 13 buah makmal dengan kelengkapan bertaraf dunia yang membolehkan pelajar dan penyelidik meneroka teknologi canggih dalam persekitaran yang kondusif serta berdaya saing.

“Dijangka seramai 1,040 orang pelajar tempatan akan menjadi kumpulan perintis pertama pada kemasukan bulan Oktober nanti menjadikan permulaan yang signifikan kepada pengoperasian rasmi fakulti ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post WRUR BEMBAN: LEBIH 130 PROGRAM SASAR SOLUSI ISU RAKYAT
Next post PEMAIN INDUSTRI CADANG TUBUH MAJLIS PEMANTAUAN VAPE MALAYSIA