Sorting by

×

PEMAIN INDUSTRI CADANG TUBUH MAJLIS PEMANTAUAN VAPE MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 20 Jun – Pemain industri peranti rokok elektronik atau vape mencadangkan penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menangani isu penyalahgunaan peranti itu dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah.

Antara cadangan yang diutarakan adalah meletakkan majlis berkenaan di bawah pemantauan kerajaan dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Pengarah Urusan sebuah syarikat peranti rokok elektronik, Shahabudeen Jalil, dengan penubuhan majlis berkenaan aspek kawal selia industri vape termasuk pengilangan, pengedaran, kawalan produk dan penguatkuasaan di lapangan dapat diselaraskan dengan lebih bersepadu dan menyeluruh.

“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang muncul kini menjadi satu cabaran baharu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Gejala ini amat membimbangkan dan perlu ditangani secara menyeluruh dengan sokongan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan mengulas kebimbangan dizahirkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penglibatan anak Melayu dalam penyalahgunaan dadah dan vape.

Img 20250621 wa0000
SHAHABUDEEN

Dalam pada itu, Shahabudeen sekali kali menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya penjualan terbuka peranti vape serta cecair isian semula dan hanya membenarkan peranti yang dikawal, dipantau dan berdaftar dijual di pasaran.

Beliau juga berharap penguatkuasaan di pintu sempadan negara ditingkatkan bagi mengekang penyeludupan cecair haram, selain menggesa pemantauan berkala di premis-premis tempatan.

Selain langkah penguatkuasaan, beliau turut mencadangkan kerajaan melancarkan kempen kesedaran di sekolah-sekolah berhubung bahaya penyalahgunaan dadah di dalam peranti vape.

“Pihak berkaitan wajar diberi mandat untuk menjalankan program pendidikan dan kesedaran kepada pelajar. Ia satu pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi bebas dadah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post UTEM TERAJU INISIATIF AI, KESELAMATAN SIBER
Next post KARNIVAL KERJAYA DUN AYER LIMAU TAWAR LEBIH 300 PELUANG PEKERJAAN