
‘MELON TO MILLION’ TAPAK LAHIRKAN PETANI MODEN DI MELAKA
AYER KEROH 29 Jun – Siapa sangka, minat seorang anak muda terhadap pertanian telah membuka ruang kepada kejayaan luar biasa negeri ini yang menjadi antara pengeluar melon terbesar di Malaysia dengan hasil mencecah 270 tan semusim.
Itu kisah kejayaan Kamarul Iqbal Ismail, 36, Pengarah Urusan KMK Agro Global Sdn Bhd syarikat yang kini menjadi peneraju dalam projek pertanian moden melon di bawah inisiatif Program Khas ‘Melon To Million’.
Bapa kepada tiga anak itu tidak pernah mengimpikan projek pertanian yang bermula dari sekadar minat mampu menjana hasil lumayan, bahkan dia kini komited mahu melatih dan melahirkan lebih ramai petani muda di negeri ini.
Berkecimpung dalam industri ini selama lebih 13 tahun, Kamarul Iqbal tidak melihat pertanian sekadar menanam dan menuai hasil, sebaliknya, menyifatkan ia sebagai satu peluang membina kehidupan, menjana ekonomi dan membawa perubahan.
“Saya percaya pertanian hari ini perlu bergerak seiring teknologi. Kami guna pendekatan ‘precision farming’, jadi apa yang ditanam dan dituai itu tepat, berkualiti dan menguntungkan.
“Program ini (Melon To Million) memberi tumpuan kepada tiga objektif iaitu memperkenal industri melon tanah air, menarik minat pelabur luar dan membolehkan rakyat Melaka terlibat secara langsung dalam penanaman melon berskala tinggi.
“Kami telah melatih 20 hingga 30 orang petani melon mahir di Melaka. Mereka bukan sahaja berkemahiran teknikal, malah mampu menghasilkan buah berkualiti setaraf import,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Katanya program ‘Melon To Million’ itu diterajui Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepada petani.
“Anak muda dahulu takut mahu masuk bidang ini, tetapi sekarang mereka boleh lihat sendiri yang mana sektor pertanian boleh menjadi kerjaya profesional kalau diurus dengan betul.
“Melon To Million ini bukan sekadar projek tani, malah bakal menjadi penggerak ekonomi rakyat. Kami mahu melon menjadi pemangkin rezeki baharu untuk Melaka,” katanya.
Menurutnya, setakat ini sebanyak lima varieti melon premium termasuk dari Thailand dan Jepun ditanam di Melaka antaranya di kawasan Pulau Gadong dan Sungai Udang yang mampu menghasilkan sehingga 55 tan sekali tuaian.

“Menerusi program ini juga orang awam boleh datang ke ladang dan merasai sendiri pengalaman memetik buah melon dari pokok sekali gus mempelajari tentang keindahan pertanian moden.
“Malah, rakyat di negeri ini juga boleh merasai sendiri kesegaran buah premium itu yang dahulunya hanya boleh ditemui di pasar raya mewah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.