Sorting by

×

SENI BUDAYA, PERMAINAN TRADISIONAL WARNAI PRA-PELUNCURAN WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Pelbagai persembahan seni dan budaya, selain permainan tradisional akan mewarnai Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, 5 Julai ini.

Majlis yang diadakan di perkarangan Bangunan Stadthuys itu diadakan bertujuan bagi mempromosi Melaka sebagai tuan rumah acara pelancongan dunia iaitu WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang akan diadakan 27 hingga 29 September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pra-peluncuran itu akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri duta-duta asing ke Malaysia.

Jelas beliau, persiapan terakhir kini sedang giat dijalankan bagi memastikan pelbagai pengisian yang diatur berlangsung dengan jayanya pada hari tersebut.

“Sudah pasti, pelbagai program menarik akan kita bawakan antaranya persembahan seni dan budaya dan begitu juga pemainan-permainan tradisional yang akan kita perkenalkan di peringkat antarabangsa.

“Jadi, kepada semua, jangan lupa datang ke Melaka kerana ada pelbagai acara menarik menanti anda, termasuklah persembahan seni nusantara yang akan dibawakan bersempena Rentak Bertandak Antarabangsa 2025 yang diadakan bersekali pada ahri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran di Malaysia Hari Ini bagi mempromosikan Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Rentak Bertandak Antarabangsa 2025, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Nasrul Ahmad.

Menurut Ab Rauf, pra-peluncuran itu juga merupakan antara sebahagian pengisian yang disediakan Kerajaan Negeri bagi menguar-uarkan WTD dan WTC 2025, sebelum tiba hari kemuncaknya kurang tiga bulan lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, sepanjang tempoh ini sehingga September, pelbagai acara menarik akan terus diadakan di Melaka dan seluruh Malaysia sebagai platform promosi terbaik acara bertaraf dunia ini.

“Semua ini kita lakukan bagi menyambut kehadiran perwakilan yang terdiri daripada pembuat-pembuat dasar dan menteri pelancongan dunia dari lebih 155 buah negara yang akan berkampung ke negeri ini pada 27 hingga 29 September,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post PERSIAPAN PRA-PELUNCURAN WTD 2025 SUDAH 95 PERATUS
Next post 37 KAMPUNG DI BEMBAN DAPAT ALAMAT BAHARU, DILENGKAPI KOD QR