
WRUR BEMBAN: WARGA EMAS BERSYUKUR, TIDAK LAGI TAKUT DENGAR GURUH DI LANGIT
BEMBAN 2 Julai – Permohonan membaiki pulih kerosakan rumah yang dimohon bertahun dapat diselesaikan dalam tempoh segera memberi sinar baharu kepada penerima Program Baik Pulih Rumah (PPKB) pada Program Sentuhan Kasih Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Bemban.
Warga emas, Rohana Mohamad Nasir, 66, berkata dia bersyukur dan terharu apabila rumah yang didiaminya sejak puluhan tahun lalu kini dibaik pulih dan tidak perlu takut apabila mendengar guruh di langit.
“Sebelum ini kalau dengar guruh sahaja memang sudah siapkan besen untuk tadah air hujan di bawah bumbung atau atap yang bocor.
“Lebih lima tahun juga hidup dalam situasi ‘tadah air hujan’ itu, dan kini selepas dibaik pulih, terima bumbung baharu, malahan pintu kayu yang reput sebelum ini juga ditukar, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua yang terlibat,” ujar ibu tunggal anak tujuh yang tinggal di Kampung Pondok Kempas.
Nada sama turut disuarakan seorang lagi penerima bantuan, Salinah Ibrahim, 79, yang menzahirkan rasa berterima kasih kerana telah membaik pulih atap rumah pusaka yang bocor dan rosak sejak lima tahun lalu.
“Alhamdulillah syukur, kini rumah pusaka ini dapat dihuni dengan selesa bersama anak dan menantu, hampir lima tahun juga kami memohon bantuan baik pulih atap yang bocor dan rosak.
“Terima kasih tidak terhinggalah kepada semua yang terlibat program WRUR ini memang betul-betul mendahulukan rakyat,” ujarnya yang tinggal di Kampung Kesang Tua.

Terdahulu, Exco Kanan Perumahan,Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama MPJ menyantuni empat penerima Program Baik Pulih Rumah (PPKB) pada Program Sentuhan Kasih MPJ di beberapa lokasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, semalam.
Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop; Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta kenamaan lain.
Pada program itu, selain baik pulih rumah, penerima turut menerima sumbangan barangan elektrik dan kit makanan oleh MPJ.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.