Sorting by

×

650 ‘SCAMMER’ DICEKUP DI MELAKA SEJAK JANUARI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BEMBAN 3 Julai – Polis Melaka menahan 650 individu terbabit aktiviti penipuan dalam talian hasil serbuan sekitar negeri ini sejak Januari sehingga 1 Julai lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, justeru pihaknya terpanggil bagi menganjurkan kempen pencegahan ‘scammer’ untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman jenayah siber yang semakin membimbangkan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk menganjurkan program berkaitan jenayah siber ini.

“Antara kes kerap dilaporkan melibatkan penipuan jualan atas talian, pautan palsu seperti jemputan perkahwinan dan penyalahgunaan akaun bank oleh ‘keldai akaun’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kempen Kesedaran Keselamatan Infra Komunikasi dan Jenayah Siber Daerah Jasin sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, di sini, semalam.

Kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem selain turut dihadiri Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop.

Menurut Dzulkhairi, bukan semua kes disebabkan sifat tamak mangsa, sebaliknya ada juga yang diperdayakan ketika membeli barangan secara dalam talian.

“Kita juga dapati ramai yang terpedaya dengan pautan palsu dan berkongsi kod ‘One Time Password’ (OTP) mereka tanpa sedar, ini secara tidak langsung mengundang kepada jenayah siber,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

608
Kongsi :
Previous post SENI RONGGENG ADALAH WARISAN BUDAYA, BUKAN UNSUR NEGATIF
Next post MPHTJ ZIARAH RUMAH KE RUMAH SANTUNI WARGA BEMBAN