
MPHTJ ZIARAH RUMAH KE RUMAH SANTUNI WARGA BEMBAN
BEMBAN 3 Julai – Pesakit kronik dan ibu tunggal antara warga kurang bernasib baik yang disantuni Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pada program Lawatan Kasih Rumah Ke Rumah bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, ziarah kasih itu melibatkan sebanyak 21 buah rumah dari tujuh buah kampung di bawah MPHTJ dalam dalam DUN Bemban.
Katanya, selain menyantuni, MPHTJ turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas termasuk kit makanan kepada penerima.
“Objektif program ini lebih kepada mengeratkan hubungan silaturahim MPHTJ bersama penerima, wakil pemimpin masyarakat setempat dalam DUN Bemban.
“Ada di antara penerima kita yang mempunyai sakit kronik seperti seorang penerima yang buta akibat kencing manis, selain warga emas yang tinggal seorang diri dan pelbagai lagi golongan, di mana barangan sumbangan yang kita berikan mengikut kesesuaian mereka.
“Selain itu, kita juga mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga MPHTJ dengan memberikan bantuan kepada golongan memerlukan serta dapat berinteraksi secara terus dengan penerima sumbangan yang tinggal di bawah kawasan pentadbiran MPHTJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, program itu turut dihadiri Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop serta kenamaan lain.
Menurut Sapiah, antara lokasi yang dijelajahi MPHTJ bersempena WRUR DUN Bemban adalah Tehel, Tanjung Laboh, Parit Lampung, Bemban, Ayer Panas, Kesang Jaya dan Kesang Tua.
“Selain ziarah, sepanjang WRUR, MPHTJ turut terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) gotong-royong perdana dan mengecat rumah, selain turut menyertai Program Reruai Mesra Perancangan Rakyat Untuk Rakyat dan membuka Charity Outlet MPHTJ iaitu pakaian terpakai secara percuma untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.