Sorting by

×

MELAKA DIJANGKA TERIMA DUA LAGI PROJEK JALAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BEMBAN 3 Julai – Dua lagi projek jalan baharu dijangka diluluskan di Melaka, sekali gus memberi impak cukup besar kepada ekonomi negeri pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara projek tersebut adalah Lebuh Raya Pesisiran Pantai (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor yang melalui Negeri Melaka yang telah mendapat kelulusan bagi menjalankan kajian terperinci.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah memohon satu lagi projek naik taraf jalan dari Masjid Tanah ke Sungai Udang yang juga memberi impak kepada masyarakat dan rakyat negeri ini.

“Sebelum ini, perjalanan dari Masjid Tanah ke Sungai Udang boleh mengambil masa sehingga 45 minit dan kita harap dengan permohonan jalan baharu ini ia hanya mengambil masa 20 minit sahaja untuk menghubungkan kedua-dua lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jalan Baharu Serkam-Bemban Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalannya Datuk Zahari Abd Kalil; Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop; Pengarah JKR Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ketua Menteri berkata, hasil rundingan dan permohonan Kerajaan Negeri sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak sembilan projek baharu dan naik taraf jalan yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Menurut beliau, antara projek tersebut adalah menaik taraf Jalan Tun Hamzah dari Persimpangan JPJ ke Semabok yang akan bermula pada Disember depan dengan kos berjumlah RM300 juta serta Elevated U-Turn dan Direct U-Turn dari Pulau Gadong ke Taman Cheng bernilai RM181 juta dan fasa awal RM50 juta.

“Projek lain yang akan bermula adalah jalan baharu Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah bernilai RM125 juta yang dijangka dimulakan pada Mac 2026 dan Jalan baharu Persimpangan Rim ke Kampung Ulu Jasin (RM35.2 juta – dijangka siap Ogos 2025),” ujar beliau.

Pada masa sama, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Task Force Pengurusan Aliran Trafik Negeri Melaka yang melibatkan agensi teknikal dan penguat kuasa, untuk memperkemas pelan trafik dan menyelesaikan isu kesesakan di kawasan tumpuan.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memberi komitmen yang jitu untuk menyelesaikan aduan-aduan rakyat serta menyantuni keperluan rakyat,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2043
Kongsi :
Previous post JALAN BAHARU BEMBAN-SERKAM SIMBOL KEMAJUAN INKLUSIF
Next post KEBOCORAN ATAP JEJANTAS TUN TEJA: TINDAKAN SEGERA DIAMBIL, KESELAMATAN PENGGUNA DIUTAMAKAN