
KETUA MENTERI PRIHATIN NASIB MANGSA RIBUT TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 4 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Japerun Tanjung Bidara dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mangsa ribut di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara apabila mengambil tindakan segera menghulurkan sumbangan.
Ia sekali gus menunjukkan manifestasi kepimpinan berjiwa rakyat dalam memberikan bantuan segera kepada rakyat yang dilanda musibah.
Sumbangan berupa wang tunai dan kit makanan itu telah disampaikan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada 25 keluarga yang terjejas pada program Penyampaian Sumbangan Bencana Kepada Mangsa Ribut yang diadakan di Japerun Tanjung Bidara, hari ini.
Menurut Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud, sumbangan tersebut dihulurkan kepada semua keluarga yang menghadapi bencana bagi meringankan beban mangsa untuk membaiki kerosakan akibat ribut, baru-baru ini.
“Kesemua penerima ini merupakan mangsa ribut yang berdepan dengan kerosakan kecil di rumah mereka terutama di bahagian bumbung.
“Meskipun bantuan yang diterima ini tidaklah sebesar mana, namun diharap ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.
“Kita dapati ada beberapa rumah yang mengalami kerosakan teruk dan Ketua Menteri telah meminta pihak Japerun serta Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah serta agensi terlibat sedang berusaha untuk membantu mereka membaiki kerosakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, Md Rawi menyarankan mana-mana penduduk terutama golongan asnaf di bawah MAIM untuk melaporkan segera jika berdepan bencana atau musibah bagi membolehkan bantuan segera dapat disalurkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.