Sorting by

×

MYKIOSK DUYONG ‘HIDUP’, WAJAR JADI CONTOH

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

DUYONG 4 Julai – Inisiatif peniaga di tapak MyKiosk Persimpangan Perkampungan Hang Tuah Duyong wajar dijadikan contoh kerana telah berjaya menghidupkan kawasan berkenaan sehingga menjadi tumpuan ramai pada waktu malam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, kerjasama padu di antara peniaga dan juga persatuan penduduk menjadi antara pemangkin kisah kejayaan tapak perniagaan itu.

Jelas beliau memandangkan pengurusan perniagaan di tapak berkenaan yang berjaya diurus dengan baik, khususnya dalam aspek kebersihan dan pengurusan sisa sampah, selain turut menambah baik keceriaan di kawasan tersebut.

“Bukan sahaja pengurusan mereka terbaik, malah mereka dibantu Persatuan Penduduk Jambatan Bukit Duyong yang rata-rata ahlinya berusia bawah 23 tahun kerana turut memberikan sumbangan berupa meja dan kerusi untuk kegunaan pelanggan dan pengunjung di sini.

“Malah, mereka juga mengambil inisiatif sendiri menambah baik keceriaan dan pencahayaan, selain dibantu MBMB agar kawasan ini dapat menjadi lokasi tumpuan untuk bersantai.

“Terima kasih diucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang memainkan peranan penting menyelaras peniaga di sini dan berjaya menghidupkan kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Penyerahan Kerusi dan Meja Oleh Persatuan Penduduk Jambatan Bukit Duyong Kepada Peniaga MyKiosk di Persimpangan Perkampungan Hang Tuah, di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Mohd Noor Helmy.

Menurut Shadan, selepas ini sebuah lagi tapak MyKiosk baharu akan dibangunkan iaitu di Stadium Hang Jebat yang dijangka menempatkan lebih 15 peniaga dan dijadual bermula pertengahan bulan ini.

“Saya juga berharap tapak perniagaan di Stadium Hang Jebat akan mendapat sambutan hebat dan dapat diuruskan dengan baik bagi membantu meningkatkan ekonomi penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1222
Kongsi :
Previous post FELDA TUN GHAFAR HUTAN PERCHA SEMAKIN TERSOHOR, JADI TUMPUAN PELANCONG
Next post KETUA MENTERI PRIHATIN NASIB MANGSA RIBUT TANJUNG BIDARA