Sorting by

×

PROGRAM IJAZAH PENERBANGAN PERTAMA MALAYSIA DILANCAR DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia menawarkan Program Sarjana Muda Penerbangan ‘Two U One I’ hasil kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan International Aero Training Academy (IATAC).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program pendidikan itu membuka peluang baharu kepada anak muda lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan setara dengannya untuk menceburi bidang penerbangan secara profesional.

“Hari ini kita melancarkan program pendidikan pertama di Melaka bersama UPNM dan IATAC yang menawarkan pengajian ijazah penerbangan pertama di Malaysia dengan tempoh pengajian tiga tahun. Dua tahun adalah pengajian teori di universiti dan setahun adalah pengajian industri.

“Pengambilan pertama akan melibatkan 500 pelajar. Program ini bukan sahaja melahirkan juruterbang, malah graduan akan menerima ijazah dalam bidang penerbangan termasuk lesen Juruterbang Komersial,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan ‘Two U One I’ di IATAC, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap bagi menawarkan Program Sarjana Muda Penerbangan ‘Two U One I’

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Menurut Ab Rauf, usaha itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform pendidikan bertaraf tinggi serta memperluas peluang pekerjaan kepada generasi muda khususnya di Melaka.

“Terima kasih kepada IATAC yang menyediakan kemudahan latihan penerbangan, manakala komponen akademik dikendalikan sepenuhnya oleh UPNM. Melaka amat berbangga dengan penawaran bidang pengajian baharu ini yang memberi nafas segar dalam industri penerbangan dan pendidikan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post ‘JOY RIDE’ TAWAR PENGALAMAN NIKMATI PEMANDANGAN MELAKA DARI UDARA
Next post LTAM KEMBALI RANCAK, CATAT LEBIH 23,000 PENUMPANG