Sorting by

×

HARI BERTEMU PELANGGAN, KOMITMEN MBMB SANTUNI MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Penganjuran Hari Bertemu Pelanggan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memudahkan warga bandaraya untuk menyuarakan permasalahan dan pandangan mereka.

Meskipun sebelum ini MBMB sudah menyediakan beberapa medium untuk menyalurkan aduan atau pandangan, namun sesi bertemu empat mata dianggap lebih disenangi orang ramai.

Lim Yap Gee, 77, berkata, peluang berjumpa secara terus dengan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk menyuarakan beberapa isu melibatkan kejiranannya.

Katanya, meskipun sudah membuat aduan berhubung masalah berkenaan menerusi saluran disediakan sebelum ini, namun Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2025 dianggap lebih berkesan dan membuktikan kesungguhan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam merakyatkan pentadbiran.

“Datuk Bandar adalah seorang yang sibuk tetapi untuk satu hari ini beliau luangkan masa untuk berjumpa masyarakat. Jadi peluang berjumpa empat mata dengan beliau saya manfaatkan sebaiknya, apa yang terpendam dapat diluahkan secara terus.

“Hasil penerangan diberikan oleh Datuk Bandar saya amat berharap agar masalah yang dibangkitkan dapat diatasi dengan kadar segera, perkara ini bukan melihatkan saya seorang tetapi kepentingan awam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Warga emas itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2025 yang disempurnakan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, di Dewan Taming Sari MBMB, hari ini.

Sementara itu, pelanggan MBMB A Suzenathan, 63, berkata, tawaran diskaun sehingga 80 peratus dianggap sebagai bonus dan membantu meringankan beban warga bandaraya.

“Selepas selesai urusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hang Tuah, saya bergegas ke MBMB, meskipun terkejar-kejar tidak mengapa kerana diskaun ditawarkan amat berbaloi.

“Terima kasih MBMB, meskipun tawaran hanya satu hari tetapi amat bermanfaat kepada warga bandaraya, sekurang-kurangnya kami dapat berjimat dan gunakan wang lebihan untuk memberi barangan keperluan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

782
Kongsi :
Previous post US TRADE MOVE SPARKS ASEAN ECONOMIC RESPONSE
Next post ENAM KEMATIAN AKIBAT KEMALANGAN TEMPAT KERJA DI MELAKA SETAKAT JUN