
WRUR DUYONG ‘BUKA MATA’ DILEMA ANAK ISTIMEWA
DUYONG 19 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menjadi perintis kepada usaha memberi perhatian lebih serius terhadap anak-anak autisme di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif itu diambil menerusi penganjuran Saringan Anak Istimewa (SAI) Secara Percuma: ‘Early Detection, Early Intervention’ yang diadakan selama dua hari di Surau Ar Redhuan, Taman Semabok Perdana, di sini.
Menurut beliau, program itu bukan sahaja memanfaatkan kira-kira 100 ibu bapa dalam mengesan kelainan dan keistimewaan yang ada pada anak-anak mereka, bahkan ia juga membuka mata bahawa kes anak-anak autistik di negeri ini semakin meningkat saban tahun.
Jelas beliau, hasil semakan mendapati, setiap hari dianggarkan sebanyak 80 kes berkaitan kanak-kanak termasuk anak istimewa diterima pakar perubatan daripada hospital kerajaan di negeri ini.
Oleh sebab itu, katanya, proses pengesanan anak-anak istimewa menjadi satu cabaran di negeri ini memandangkan ada di antaranya terpaksa menunggu dalam satu tempoh masa yang lama sehingga ada yang mencecah satu atau dua tahun untuk mendapatkan janji temu.
“Mungkin ada yang menganggap kes anak-anak autisme ini sebagai kes terpencil, tapi kini ia sudah menjadi sesuatu yang biasa dan bilangannya juga semakin meningkat.
“Oleh sebab itu, Japerun Duyong dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Putra Speacialist Hospital, Akademi Ikhlas, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan pihak korporat tampil menganjurkan saringan secara percuma bersempena WRUR ini.
“Kita mahu membawa satu perspektif berbeza, di mana, semua yang terlibat bukan sahaja menyumbang kepakaran masing-masing bahkan dapat membantu mempercepat proses pengesanan supaya rawatan segera dapat diambil, dan seterusnya bantuan khas dapat disalurkan segera,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, beliau percaya satu nilai tambah akan dilakukan dalam menjaga hak anak-anak istimewa di negeri ini pada masa akan datang.
Jelas beliau, ia susulan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sendiri merupakan seorang pemimpin yang sangat cakna dan begitu mengambil berat terhadap kebajikan insan istimewa di negeri ini.
“Saya yakin segala permasalahan dan isu membabitkan anak-anak istimewa ini akan mendapat satu pembelaan sewajarnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri, antaranya dalam menambah baik bantuan dari sudut berbeza, selain proses saringan dan pengesanan itu sendiri,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.