
INSIDEN BAYI LEMAS, KERAJAAN NEGERI TELITI SEMULA GARIS PANDUAN BEDUNG BAYI DI TASKA
SERI NEGERI 21 Julai – Kerajaan Negeri sedang meneliti semula garis panduan penjagaan bayi termasuk larangan membedung bayi berusia lebih empat bulan, susulan kes kematian seorang bayi lelaki berusia enam bulan di Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Padang Temu 17 Julai lalu.
Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata siasatan pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kediaman keluarga mangsa mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah lemas akibat dibedung oleh pengasuh di taska terbabit.
“Pada usia enam bulan, bayi tidak sepatutnya lagi dibedung. Kita akan duduk bersama JKM dan institusi berkaitan untuk menghimpunkan akta serta meneliti semula garis panduan agar bayi berusia lebih empat bulan tidak perlu dibedung lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, keluarga bayi berkenaan memaklumkan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan dan menerima takdir yang menimpa bayi mereka.
Katanya, taska berkenaan adalah berdaftar namun buat masa ini ditutup sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan sepenuhnya selain memberi jaminan bahawa advokasi terhadap pengusaha taska akan diperkasa agar keselamatan bayi sentiasa menjadi keutamaan.
“Walaupun keluarga reda dengan takdir ini, kita tidak boleh pandang ringan. Ini tentang nyawa. Kita perlu pastikan kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.
Sementara itu Khamis lalu, media melaporkan bayi berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dipercayai lemas di taska terbabit kira-kira jam 5 petang.
Bayi berkenaan dikejarkan ke sebuah klinik di Ujong Pasir, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirujuk ke Hospital Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.