
HSN 2025: MELAKA CIPTA KELAINAN, PERKENAL KATEGORI VETERAN
LENDU 27 Julai – Kategori khas untuk golongan veteran akan dibawa buat julung kalinya pada sambutan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Melaka, tahun ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, kategori itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan sumbangan dan penglibatan bekas atlet serta golongan berusia di negeri ini.
“HSN2025 Peringkat Negeri Melaka dijalankan dengan pelbagai agenda dan penglibatan di seluruh Melaka tetapi kita cipta satu kelainan dengan membawa masuk peranan golongan veteran pada tahun ini.
“Antara acara sukan yang akan disertai golongan ini adalah bola sepak dan sepak takraw,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Hari Sukan Negara 2025 dan Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala YAB Ketua Menteri Melaka – ‘Master Sport’ Peringkat Negeri Melaka 2025, di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Zailani Siran; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal serta kenamaan lain.
Menurut Shanmugam, HSN2025 Peringkat Negeri Melaka pada tahun ini akan diadakan pada Oktober depan dengan menyasarkan penyertaan seramai 135,500 orang seperti yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Kemuncak program itu nanti akan diadakan di Dataran Orang Kampung, Merlimau pada sebelah pagi minggu kedua pada Oktober nanti.
“Diharapkan pendekatan pelaksanaan HSN2025 bertemakan ‘Malaysia Aktif’ tahun ini diharap akan dapat diselarikan dengan konsep Malaysia Madani yang bermatlamat untuk merakyatkan sukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.