Sorting by

×

MELAKA MAHU CIPTA MODEL KOPERASI MASA DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Melaka berhasrat menjadi negeri rintis membina model koperasi masa depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, melihat kepada potensi besar sektor berkenaan yang kini terus berkembang selepas lebih satu abad, Kerajaan Negeri boleh mengambil peluang untuk mencipta pelbagai ruang dan peluang dalam memperkasa koperasi di negara ini.

Jelas beliau, ia temasuklah menjadi negeri peneraju dalam melatih serta membimbing koperasi untuk terus berdaya maju dan berkembang pada masa akan datang.

“Insya-Allah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kita akan membangunkan dan melihat peluang yang boleh diketengahkan.

“Hasrat kita di Melaka jelas, iaitu tidak mahu sekadar menjadi pemerhati dalam landskap koperasi nasional, sebaliknya bertekad untuk tampil sebagai peneraju Koperasi Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Ahmad Norihan Jalal; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, setakat 31 Disember tahun lalu, Melaka merekodkan sebanyak 504 buah koperasi berdaftar di bawah SKM dengan jumlah keanggotaan seramai 172,690 anggota.

Malah, ujar beliau, jumlah perolehan koperasi di negeri ini juga telah mencecah RM181 juta, meningkat sebanyak RM24.76 juta berbanding tahun sebelumnya, di mana ia juga mencipta rekod tertinggi sejak tahun 2018.

“Di sini kita dapat melihat bagaimana masyarakat boleh dimajukan dalam satu sistem koperasi terbaik, di mana banyak contoh-contoh koperasi yang telah menunjukkan satu kejayaan hasil hubungan dan rangkaian yang baik dalam membina ekonomi setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post KOMUNITI TAMAN KEBAYA IKRAR PERANGI DENGGI
Next post AKTA KOPERASI BAHARU DIBENTANG HUJUNG TAHUN INI