
GABRIEL, ANAK ORANG ASLI PERTAMA TERIMA ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG
AYER KEROH 4 Ogos – Buat pertama kalinya anak orang asli dari suku kaum Seletar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka Tahun 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Gabriel Anak Akob, 21, mencipta sejarah apabila menjadi pelajar orang asli pertama di Kolej Komuniti Jasin (KKJS) yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang setiap semester bagi program Sijil Teknologi Senibina (STS).
Menurut anak muda itu, kejayaan tersebut bukan hanya datang daripada dirinya seorang, sebaliknya ia adalah hasil sokongan keluarga, pihak pengurusan kolej dan masyarakat setempat suku kaum orang asli Seletar.
“Keluarga kami orang susah dan hanya bergantung kepada ayah selaku ketua keluarga dengan purata pendapatan sehari sekitar RM40 sahaja sebagai nelayan.
“Pendapatan isi rumah keluarga tidak menentu mengikut musim dan untuk menampung yuran pengajian, saya terpaksa memohon bantuan kewangan kolej serta daripada pihak orang asli sendiri,” katanya yang kini melanjutkan pengajian peringkat Diploma Seni Bina Politeknik Merlimau Melaka (PMM).
Anak kedua daripada dua beradik itu juga berkata, dia berhasrat untuk menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi muda sukunya agar terus berusaha mengejar kejayaan.
Malah, dia juga sangat bersyukur kerana dapat membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa komuniti Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman juga boleh mencipta kejayaan dalam bidang pendidikan sekiranya rajin berusaha.
“Perkara utama untuk saya adalah untuk membuktikan bahawa anak orang asli juga boleh berjaya dan cemerlang dalam bidang pendidikan setanding dengan anak bandar.
“Saya juga ingin mengubah nasib keluarga memandangkan ayah saya seorang nelayan yang hanya mengutip kerang dan udang serta sudah banyak berkorban menyara kami sekeluarga bagi memastikan semua keperluan mencukupi,”katanya.
Dalam pada itu], Gabriel juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantunya demi menggapai cita-cita untuk mengembangkan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang seni bina.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Kolej Komuniti Jasin dan semua yang memberikan bantuan, sokongan, dorongan dan semangat kepada saya dan pelajar lain untuk berjaya.
“Harapan saya agar dapat menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak Orang Asli yang masih bersekolah dan melanjutkan pengajian di IPT untuk terus berusaha mencapai cita-cita dan memperoleh kejayaan seperti saya. Saya juga berharap agar satu hari nanti saya dapat kembali membantu masyarakat Orang Asli Seletar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.