Sorting by

×

SKM KOMITED CAPAI SASARAN 200 KOPERASI MASJID DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 8 Ogos – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka giat memperkasa koperasi kariah masjid menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor berkata, kerjasama itu merupakan usaha menyahut aspirasi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang menyarankan agar 200 koperasi kariah masjid ditubuhkan di negeri ini.

Katanya, SKM Melaka memberi perhatian serius terhadap saranan tersebut dan komited bekerjasama secara berterusan dalam menjayakannya.

“Pelaksanaan Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Melaka (KOKMA’25) serta pelancaran Buku Garis Panduan Pendaftaran Koperasi Kariah Masjid dan Surau Negeri Melaka adalah antara contoh inisiatif bersama untuk memperkukuh gerakan koperasi di masjid.

“Di Melaka sebanyak 64 koperasi masjid yang aktif, menjadikan negeri ini antara yang tertinggi di peringkat nasional.

“Untuk mencapai sasaran 200 koperasi, kita akan memanfaatkan peranan koperasi gabungan masjid dalam mempromosi penubuhan koperasi di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri KOKMA’25 yang dirasmikan Tun Dr. Mohd Ali di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, semalam.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Azam Sulaiman.

Mengulas lanjut, Mustafa memaklumkan bahawa sambutan positif terhadap KOKMA’25 telah mendorong pihaknya untuk menjadikan konvensyen itu sebagai acara tahunan di peringkat negeri.

“Konvensyen ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah turut membuka ruang kepada koperasi mempromosi produk masing-masing melalui reruai jualan.

“Penganjuran konvensyen ini juga menerima peruntukan RM100,000 daripada Kerajaan Negeri melalui program pembangunan negeri, sebagai bukti sokongan padu terhadap pembangunan koperasi masjid di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post ‘HEBAT’ BANTU SELESAI ISU PERMOHONAN RUMAH RAKYAT MELAKA
Next post PELABURAN BERTERUSAN LAHIRKAN ANAK MUDA PROGRESIF, BERWAWASAN