
‘HEBAT’ BANTU SELESAI ISU PERMOHONAN RUMAH RAKYAT MELAKA
SERI NEGERI 8 Ogos – Isu permohonan rumah menjadi antara tumpuan utama rakyat Melaka dalam program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT), di sini, semalam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, menerusi program itu, pelbagai aduan berjaya dikumpul secara langsung daripada penduduk yang hadir, termasuk berkenaan permohonan rumah yang tertangguh.
Malah, beliau sendiri bertugas seawal pagi hingga petang bagi menyantuni rakyat di reruai portfolio Exco Kerajaan Negeri yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan barisan Exco lain dalam program HEBAT ini.
“Saya bertanggungjawab terhadap semua aduan berkaitan perumahan, kerajaan tempatan dan saliran. Alhamdulillah banyak aduan atau masalah dapat kita ambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, antara isu utama dibangkitkan ialah permohonan perumahan termasuk projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang masih tertangguh meskipun tanah sudah disediakan.
“Tiga aduan diterima berkaitan SPNB, rakyat sudah mohon lebih setahun, tetapi peruntukan masih belum diluluskan.
“Kita harap menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang baru diumumkan Perdana Menteri, rakyat Melaka akan turut mendapat manfaatnya,” katanya.
Rais turut menyokong penuh agar program HEBAT dijadikan acara tetap setiap dua bulan sekali memandangkan keberkesanannya sebagai pusat sehenti pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Melaka antara negeri paling ke hadapan apabila rakyat boleh berjumpa terus dengan wakil kerajaan melalui program sebegini.
“Ini bukti kesungguhan pemimpin negeri untuk terus menyantuni rakyat secara langsung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.