
MBMB WAJIBKAN PREMIS KIBAR JALUR GEMILANG
AYER KEROH 12 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengeluarkan notis kepada pemilik premis di kawasan pentadbirannya supaya mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, arahan itu melibatkan premis-premis milik MBMB termasuk kedai makan, gerai serta bangunan besar seperti kompleks beli-belah dan hotel di kawasan Bandaraya Melaka.
“Kita mahu setiap kawasan dan premis dihiasi Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan.
“Premis milik individu seperti rumah kedai di jalan utama juga digalakkan mengibar Jalur Gemilang ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata setakat ini, kira-kira 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz telah dipasang di sekitar laluan utama termasuk dari Bangunan Graha Makmur MBMB ke kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir.
“Selain itu, MBMB turut menaikkan Jalur Gemilang Gergasi berukuran 20’ x 40’ di hadapan Bangunan Graha Makmur MBMB beserta logo tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’.
“Kita juga meminta sektor swasta, peniaga, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing menjelang sambutan 31 Ogos ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.