Sorting by

×

600 KEDAI DI JEPUN BAKAL JUAL JUS BUAH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

OSAKA, JEPUN 2 September – Jus Buah Melaka berjenama Melberic yang dikeluarkan Perbadanan Bioteknologi Melaka berjaya menembusi pasaran Jepun dan bakal dijual di lebih 600 premis tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Tee Mei Ghee berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama strategik di antara pihaknya bersama Atlantys Aqualife Sdn Bhd yang telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kawori Orchard Inc bagi memasarkan produk minuman unik Melaka itu.

Jelas beliau, produk minuman yang kini telah ditambah baik itu dijangka mula berada di pasaran Jepun pada Oktober depan.

“Untuk permulaan sebanyak satu kontena minuman Jus Buah Melaka ini akan dipasarkan ke seluruh Jepun di lebih 600 outlet antaranya pusat beli belah, pasar raya dan rangkaian kedai serbaneka di Jepun.

“Kita percaya inilah peluang terbaik untuk mengembangkan lagi produk Melaka ke serata dunia dan ia bermula di Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Melaka Aquacultural Talk yang diadakan di Business Hall Pavilion Malaysia sempena Minggu Melaka pada World Expo 2025 Osaka.

Menurut Mei Ghee, pasaran baharu itu sekali gus menjadi satu penanda aras baharu untuk mengetengahkan potensi Melaka dalam sektor berasaskan makanan dan minuman.

Pada masa sama, beliau juga berharap lebih banyak kerjasama strategik di peringkat antarabangsa dapat dimeterai Perbadanan Bioteknologi Melaka bagi mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuklah dalam sudut khidmat nasihat berkaitan industri halal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post ‘ORANG JEPUN’ TERUJA MAIN DAM AJI
Next post MELAKA SEDIA EKSPORT UDANG SEJUK BEKU KE LUAR NEGARA