
MELAKA SEDIA EKSPORT UDANG SEJUK BEKU KE LUAR NEGARA
OSAKA, JEPUN 2 September – Melaka sedia mengembangkan produk udang sejuk beku untuk dieksport ke negara-negara luar termasuk Jepun.
Inisiatif itu diambil Perbadanan Bioteknologi Melaka pada World Expo 2025 Osaka dalam mempromosikan industri ternakan udang yang sedang rancak di Zon Industri Akuakultur (ZIA), Merlimau ketika menyertai Minggu Melaka pada World Expo 2025 Osaka.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Tee Mei Ghee berkata, inisiatif mempromosikan pelaburan dalam bidang akuakultur di peringkat antarabangsa menjadi antara langkah bagi memperkenalkan lagi Melaka yang kini semakin berdaya saing dalam pelbagai bidang.
Jelas beliau, menerusi ekspo berkenaan, beberapa sesi padanan perniagaan bakal diadakan bersama beberapa pihak yang menyatakan minat untuk melabur dalam industri udang sejuk beku itu.
“Di ZIA setakat ini kita mempunyai sebanyak 17 kolam ternakan udang dan mampu menuai dua hingga lima tan udang setiap tiga bulan.
“Pada tahun hadapan, kita bercadang untuk menambah lagi 12 kolam ternakan bagi mengembangkan lagi perusahaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Melaka Aquacultural Talk yang diadakan di Business Hall Pavilion Malaysia sempena Minggu Melaka pada World Expo 2025 Osaka.
Menurutnya lagi, penambahan kolam baharu itu juga menjadi permulaan kepada sebuah lagi projek Perbadanan Bioteknologi Melaka dalam mewujudkan pusat latihan akuakultur khas untuk golongan belia.
“Pusat latihan ini adalah hasil cetusan idea Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mahu melatih belia menjadi akuapreneur.
“Memandangkan kita dijangka berdepan dengan hasil laut yang semakin berkurangan, jadi pengenalan teknologi dalam industri akuakultur amat penting untuk negara dan Negeri Melaka khususnya,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.