
PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA KEMBALI
TANJUNG BIDARA 2 September – Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 kembali dengan pelbagai aktiviti dan acara sukan pantai yang menarik.
Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, penganjuran bagi edisi kedua itu akan berlangsung pada 14, 15 dan 16 September seperti yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum ini.
Menurutnya, sepanjang tiga hari berlangsungnya pesta itu pelbagai acara menarik dan pameran disediakan untuk pengunjung termasuklah penganjuran Malam Menyemai Cinta Rasul.
“Aktiviti yang disediakan sudah pastinya akan melibatkan semua peringkat usia. Untuk kanak-kanak diadakan pertandingan Nyanyian Patriotik Dan Tradisional, Model Kids Festival serta Pertandingan Mewarna.
“Bagi sukan pantai terdapat enam acara yang akan menjadi tumpuan antaranya panjat tiang licin dan tarik tali. Sementara itu bagi permainan tradisional pula tujuh acara disusun iaitu tangkap itik, terompah gergasi dan lari dalam guni,” katanya.
Menurutnya, turut akan berlangsung adalah Malam Nada Nusantara Pantai Selatan yang akan menampilkan persembahan kebudayaan termasuk penampilan artis jemputan.
“Malah kita turut menyasarkan acara Sukan Orang Lama yang mempertandingkan permainan karom, congkak, dam aji dan konda kondi.
“Pada hari terkahir pula akan berlangsung Konvoi World Tourism Day dan Jamuan Rakyat diperkarangan Pantai Tanjung Utama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.