Sorting by

×

WORLD EXPO 2025 OSAKA: MELAKA PERKUKUH KEDUDUKAN DI PENTAS DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

OSAKA, JEPUN 2 September – Pemeteraian lima perjanjian persefahaman (MoU) antara agensi dan syarikat di Melaka bersama pihak Jepun dalam pelbagai sektor antaranya akademik, pertanian serta teknologi hijau, memperkukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelabur global.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang dimeterai adalah dua MoU di antara Perbadanan Melaka (MCORP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Universiti Kansai, Jepun bagi menjalankan kajian tentang bencana alam serta kesan akibat ribut petir di sepanjang pantai di Selat Melaka.

“Selain itu, turut dimeterai MoU berkaitan pertanian bagi membekal buah-buahan Melaka ke Jepun seperti durian, nangka, nanas dan tembikai, selain jus Buah Melaka berjenama Melberic juga bakal menembusi pasaran Jepun.

“MoU terakhir adalah berkaitan minyak biofuel membabitkan syarikat Melaka dan Jepun di mana keseluruhan perjanjian ini dianggar bernilai RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Minggu Melaka bersempena World Expo 2025 Osaka di Pavillion Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selain MoU, bersempena ekspo itu juga, Kerajaan Negeri juga turut membawa lapan usahawan kecil dan sederhana (SME) Melaka yang berdaya saing bagi mempromosikan produk mereka ke pasaran dunia.

“Saya berharap produk-produk Melaka ini dapat diperkenalkan kepada dunia dan seterusnya berkembang menjadi produk yang dibanggakan negara di peringkat global,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA KEMBALI
Next post MELAKA PROMOSI INDUSTRI HALAL DI JEPUN