
WRUR KLEBANG TITIK SENTUH HATI RAKYAT
KLEBANG 2 Oktober – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang berlangsung 5 hingga 19 Oktober ini bakal menjadi ruang dan peluang untuk menyentuh hati rakyat di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, sebanyak lebih 100 program telah dirangka dengan pengisian yang pelbagai bagi memastikan impaknya dirasai rakyat di segenap pelusuk, sama ada di taman perumahan, mahupun kampung.
Jelas beliau, antara fokus utama WRUR DUN Klebang adalah dalam sudut kebajikan dan kesejahteraan rakyat, selain turut menekankan pembangunan ekonomi di kawasan tersebut.
“Dalam sudut kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kita bukan sahaja akan menziarahi masyarakat kurang bernasib baik, tetapi pada masa sama turut menekankan kepada aspek kesihatan.
“Menariknya, bersempena pembukaan WRUR DUN Klebang, akan diadakan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai, di mana ia akan menyelitkan pelbagai pengisian seperti pemeriksaan kesihatan, ceramah, sukan dan pameran.
“Selain itu, dalam sudut ekonomi, kita akan menyantuni petani dan pesawah, serta golongan nelayan untuk mendapatkan pandangan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi memperkasa ekosistem pertanian dan perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran pada program Bicara Santai WRUR DUN Klebang di MelakaFM, hari ini.
Tambah Ban Hong, aspek pendidikan turut menjadi agenda utama WRUR DUN Klebang, di mana pelbagai program yang disifatkan menyeluruh untuk segenap lapisan masyarakat telah dirangka.
Jelasnya, ia termasuklah ziarah ke fasiliti pendidikan anak-anak istimewa di Lereh, program TVET, program memupuk budaya membaca serta kempen kesedaran keselamatan internet dan jenayah siber untuk masyarakat.
“Jadi, saya mempelawa seluruh warga Klebang untuk bersama sepanjang WRUR ini berlangsung kerana manfaatnya amat besar kepada semua.
“Inilah ruang dan peluang terbaik untuk bertemu pelbagai kepimpinan Kerajaan Negeri bersama pelbagai agensi supaya segala permasalahan dapat diselesaikan menerusi satu pendekatan yang terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.