
TEKANAN HIDUP, MASALAH KELUARGA ANTARA PUNCA UTAMA GANGGUAN MENTAL
KLEBANG 6 Oktober – Hari Mental Sedunia menjadi antara sambutan yang amat penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, mengikut rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap tahun lebih 720,000 individu meninggal dunia akibat bunuh diri yang dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan mental di seluruh dunia.
Jelas beliau, Malaysia juga tidak terkecuali kerana angka kes bunuh diri menunjukkan peningkatan dengan bilangan kematian meningkat dari 641 pada tahun 2020 kepada kira-kira 1,068 pada tahun 2023.
“Tekanan hidup, kos sara hidup yang meningkat, masalah keluarga serta pekerjaan antara faktor utama mendorong kepada gangguan mental dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di SMK Bukit Rambai, di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Sambutan itu diadakan bersekali dengan perasmian pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang akan berlangsung selama dua minggu.
Menurut Hee Sem, penganjuran program dua dalam satu itu disifatkan amat baik memandangkan bukan sahaja menjadi medium untuk mendekatkan rakyat dengan pemimpin, malah menjadi langkah proaktif menangani peningkatan kes kesihatan mental di Malaysia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.