
MELAKA PERLUAS HEBAHAN SKIM KAWALAN PETROL BERSUBSIDI
KESIDANG 7 Oktober – Melaka memperluaskan hebahan dan informasi berkaitan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi membantu kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan menikmati manfaat subsidi pada kadar RM2.05 seliter.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, SKPS telah dibuka pendaftarannya sejak 15 September lalu kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan awam dan 12 jenis kenderaan pengangkutan barangan.
Menurut beliau, melalui SKPS, keseluruhan transaksi jual dan beli minyak petrol RON95 direkod secara digital dengan lebih teratur dan sistematik dari peringkat syarikat minyak, stesen minyak, dan syarikat pemilik kenderaan layak, sekali gus mengurangkan ketirisan dan penyelewengan di stesen minyak.
Justeru, kata beliau, semua syarikat pemilik kenderaan yang layak disaran membuat permohonan segera secara dalam talian menerusi pautan mysubsidi.kpdn.gov.my.
“Kelulusan permohonan adalah serta-merta tertakluk kepada kelayakan jenis badan dan kelas kegunaan serta memiliki cukai jalan yang aktif. Pemohon seterusnya perlu menyerahkan dokumen Surat Kelulusan SKPS dan Senarai Kenderaan yang boleh dicetak melalui laman sesawang mysubsidi, kepada mana-mana stesen minyak jenama pilihan bagi pengeluaran kad fleet.
“Sehubungan itu, semua pihak diingatkan untuk bertanggungjawab terhadap penggunaan kad fleet dan lain-lain kaedah pembelian yang dibenarkan dalam memanfaatkan subsidi petrol RON95.
“Kaunter pertanyaan dan pendaftaran khusus untuk SKPS dibuka pada 6 hingga 10 Oktober pada jam 9.30 pagi hingga 1 petang dan 2.30 petang hingga 4.30 petang di Pejabat KPDN Melaka Aras 6, Wisma Persekutuan Jalan MITC, Ayer Keroh. Pertanyaan boleh juga diajukan ke Pusat Panggilan Sistem Mysubsidi KPDN di talian: 03-8882 5893 / 5894 / 5923 / 6667 (Isnin – Jumaat: 8.00 pagi -5.00 petang),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Allex turut memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan kesalahan memanipulasi, menyeleweng atau menyeludup petrol RON95 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 12] serta peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa.
Tegas beliau, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta jika sabit kesalahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.