Sorting by

×

TALI PINGGANG KETUA MENTERI JADI REBUTAN DI FIGHT NIGHT MUAYTHAI INTERNATIONAL 2.0

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Aksi seni bela diri muaythai bakal kembali menghangatkan pentas sukan Melaka menerusi penganjuran Kejohanan Antarabangsa Fight Night Muaythai (FNM) 2.0 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober ini di Freeport A’Famosa Resort, Alor Gajah.

Presiden Muay Thai Melaka, Emrito@Haris Alias berkata pertandingan berprestij itu akan berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah malam dengan menghimpunkan penyertaan atlet profesional dan amatur dari dalam serta luar negara.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Melaka sebagai pusat tumpuan komuniti Muay Thai serantau dengan menyasarkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.

“Edisi kali ini buat julung kali kita pertandingkan ‘Tali Pinggang Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh’ bersama enam lagi tali pinggang untuk direbut.

“Memasuki edisi kali kedua, kejohanan ini dianjurkan Persatuan Muay Thai Negeri Melaka dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri serta rakan strategik dengan hadiah terkumpul setakat ini melibatkan hampir RM100,000 dengan penglibatan keseluruhan hampir 400 atlet menyertai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Kejohanan Antarabangsa FNM 2.0 di Pejabat Persatuan Muay Thai Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Emrita@Haris berkata penganjuran kejohanan sukan tempur itu dijangka lebih meriah dengan kehadiran lebih 200 peserta yang bakal mempersembahkan pertarungan dan aksi sengit dalam kategori remaja, wanita, amatur dan profesional.

Jelasnya, kejohanan itu juga berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu dan mempersiapkan atlet Melaka untuk penyertaan ke kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Buat pengunjung yang berminat boleh hadir menyaksikan pertarungan atlet di atas gelanggang bagi merebut ‘Tali Pinggang’ yang ditawarkan pada acara kemuncak pada 19 Oktober nanti dengan tiket yang ditawarkan bermula RM25 hingga RM60.

“Bagi acara amatur yang lain, pengunjung boleh menyaksikan secara percuma bagi memberikan sokongan kepada atlet-atlet muda pada 17 dan 18 Oktober ini,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.muaythaimelaka.com atau menghubungi 011-5503 4977 (Emrita).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

729
Kongsi :
Previous post BAZAR DAN PERSEMBAHAN BUDAYA WARNAI PESTA DEEPAVALI 2025
Next post WRUR KLEBANG: JELAJAH MAIM KONGSI PERANAN BAITULMAL