Sorting by

×

WRUR KLEBANG DENGAR SUARA NELAYAN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KLEBANG 10 Oktober – Nasib dan segala permasalahan nelayan menjadi antara fokus yang diberi perhatian sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang sedang berlangsung sehingga 19 Oktober depan.

Ia terbukti apabila inisiatif merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri itu menyelitkan pengisian santunan kepada ‘orang laut’ menerusi program ‘Sepetang Bersama Nelayan’ di dua pangkalan nelayan iaitu Jeti Warisan Klebang Besar dan Jeti Nelayan Lereh.

Setiausaha Khas Masyarakat Kepada Ketua Menteri Melaka Yong Fun Juan berkata, program berkenaan merupakan hasrat yang diterjemah menerusi penganjuran WRUR yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah segenap lapisan masyarakat di seluruh Negeri Melaka.

Ujar beliau, ia termasuklah masalah membabitkan komuniti nelayan, di mana sebelum ini ada di antaranya tidak sampai ke peringkat agensi atau Kerajaan Negeri, namun dengan inisiatif WRUR perkara itu dapat disampaikan secara terus bagi membolehkan penyelesaian segera diambil.

“Ini adalah hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu WRUR menjadi medan kepada wakil rakyat dan agensi menyantuni secara terus masyarakat di peringkat akar umbi.

“Seperti di Klebang yang merupakan antara kawasan komuniti nelayan di Negeri Melaka, kita dapat mendengar rungutan dan masalah mereka dan seterusnya dapat mengambil tindakan segera.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat cakna terhadap nasib nelayan di negeri ini dan sudah pasti mereka akan terus dibantu menerusi pelbagai agensi dan jabatan terlibat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri menghadiri Program Sepetang Bersama Nelayan di Jeti Sungai Lereh, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Fun Juan, menerusi program itu beberapa masalah nelayan telah dikenal pasti antaranya membabitkan isu pelesenan dan infrastruktur yang mana kesemua maklumat itu telah diambil dan dikumpulkan sebelum kesemuanya akan disalurkan kepada jabatan atau agensi terlibat sama ada di peringkat negeri, mahupun persekutuan.

“Apa yang dilakukan ini adalah manifestasi usaha Kerajaan Negeri menjadi sebuah kerajaan mesra rakyat dengan menyentuh denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi dan berusaha membantu masalah yang dihadapi,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post WRUR KLEBANG: JELAJAH MAIM KONGSI PERANAN BAITULMAL
Next post WRUR: NENEK 91 TAHUN SENYUM LEBAR TERIMA ROMBONGAN ZIARAH KASIH