Sorting by

×

BELANJAWAN 2026: BERI PELUANG BELIA JADI ‘THINK TANK’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 10 Oktober – Tidak hanya menjadi pemerhati sebaliknya belia juga mahu diberi peluang menyumbang idea ke arah transformasi negara untuk masa akan datang.

Itu harapan anak muda, Wan Annur Rabiatul Adawiyah Wan Abdul Halim, 23, mengulas mengenai harapan terhadap Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Annur yang merupakan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Melaka berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kebolehpasaran pelajar seperti menyediakan platform untuk mereka mengembangkan bakat dan potensi diri.

“Setiap hari semakin ramai graduan dilahirkan, di mana wujud kebimbangan bagi saya secara peribadi untuk meneroka alam pekerjaan.

“Untuk itu, saya rasa kerajaan kena buat satu inisiatif yang boleh membuka lebih banyak peluang kepada anak muda memimpin organisasi daripada asyik didominasi oleh ‘orang lama’ sahaja, sedangkan kami juga ada idea-idea baharu boleh diketengahkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi Nor Shahira Mohamed Sahabudeen Asmathulla, 23, pula, dia berharap kerajaan MADANI ketika ini lebih mengutamakan aspek kebajikan pelajar.

Katanya, pelajar perlu diberi kemudahan yang lengkap mengikut tuntutan kursus pengajian yang diambil.

“Contohnya saya pelajar kejuruteraan mekanikal sangat memerlukan komputer riba dengan spesifikasi tinggi dan storan besar. Ini sedikit sukar dan saya harap belanjawan kali ini ada mengutarakan hal ini,” katanya.

Whatsapp image 2025 10 10 at 07.21.18
MOHD SHAFIQ

Sementara itu, Mohd Shafiq Shafee, 31, berharap Belanjawan 2026 turut memberi penekanan kepada generasi muda khususnya mereka yang datang daripada keluarga B40.

“Justeru bajet kali ini harapnya belia juga tidak ketinggalan mendapat keistimewaan misalnya meneruskan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada remaja 18 tahun ke atas yang sangat membantu.

“Selain itu, kerajaan juga boleh memperbanyakkan lagi program berbentuk kursus pendek dan latihan kepada golongan belia misalnya bagaimana membantu mereka mencipta kandungan media sosial sahaja boleh menjana pendapatan,” katanya.

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada jam 4 petang, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post WRUR: NENEK 91 TAHUN SENYUM LEBAR TERIMA ROMBONGAN ZIARAH KASIH
Next post MPAG DINOBAT PBT CEMERLANG BASMI WABAK DENGGI