
MPAG DINOBAT PBT CEMERLANG BASMI WABAK DENGGI
ALOR GAJAH 10 Oktober – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) meraih kejayaan membanggakan apabila dinobat tempat pertama dalam Kempen Kempen Cegah Wabak Denggi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025.
Pengiktirafan itu diberikan pada Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre, semalam.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kejayaan tersebut diraih hasil usaha yang dilakukan MPAG bersama komuniti di Taman Kebaya, Alor Gajah bagi memastikan persekitaran komuniti kekal bersih dan bebas Aedes.
Jelas beliau, dalam merealisasikan kejayaan di lokaliti tersebut, MPAG telah menjalankan tindakan bersepadu melibatkan penguatkuasaan dan pendidikan komuniti, selain turut mempergiat aktiviti pembersihan awam bersama penduduk.
“Kejayaan ini merupakan satu bentuk pengiktirafan tertinggi di peringkat KPKT dan ia juga merupakan penghargaan di atas usaha MPAG memastikan orang awam dan penduduk di kawasan pentadbiran MPAG bebas daripada denggi seterusnya meningkatkan tahap kesihatan mereka
“MPAG berharap agar usaha ini dapat diperluaskan ke semua lokaliti denggi dan mendapat kerjasama yang utuh terutama dari orang awam serta agensi berkaitan demi memastikan keseluruhan kawasan pentadbiran MPAG bersih dan bebas denggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu TPr. Saifuddin menerima anugerah tersebut yang disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada majlis sambutan tersebut.
Lebih manis, MPAG turut menerima Anugerah Pengiktirafan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cemerlang bagi Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Kesihatan Persekitaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.