
BELANJAWAN 2026: PELEPASAN CUKAI MAMPU LONJAK PELANCONGAN MELAKA
AYER KEROH 10 Oktober – Melaka menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 sebagai galakan untuk rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
Inisiatif itu antara yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, langkah itu dilihat antara usaha merancakkan semula sektor pelancongan domestik serta memberi peluang kepada rakyat untuk meneroka keindahan pelancongan tempatan, termasuk di Negeri Melaka.
“Insentif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat melalui penjimatan cukai, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada penggiat industri pelancongan termasuk pengusaha hotel, ejen pelancongan, pengangkutan, kraftangan dan peniaga kecil di Melaka.
“Saya akan bekerjasama rapat dengan semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi pelancongan serta pemain industri bagi menyediakan promosi dan pakej pelancongan menarik agar rakyat benar-benar memanfaatkan insentif ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, langkah berkenaan turut bertepatan dengan pelaksanaan Tahun Melawat Melaka (Visit Melaka) 2.0 yang akan dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hujung tahun ini.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri sentiasa komited bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan agenda nasional VM 2026,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing atas keprihatinan terhadap pembangunan industri pelancongan negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.