
WRUR: KONGSI ILMU, PERHEBAT KESEDARAN KESELAMATAN ICT
KLEBANG 16 Oktober – Usaha meningkatkan kesedaran berkenaan keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terus diperhebatkan bagi mengelakkan lebih ramai penduduk negeri ini daripada menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjadi platform terbaik bagi menganjurkan program kesedaran menerusi sesi taklimat kepada orang ramai.
“Program sebegini memberi pendedahan mengenai ancaman dan risiko keselamatan siber, malah berfungsi sebagai medium mendidik masyarakat agar lebih berwaspada terhadap penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
“Masyarakat sebelum ini mungkin kurang peka terhadap risiko dunia siber, namun selepas mendapat maklumat tambahan mereka mula sedar tentang kepentingan melindungi data peribadi serta berurusan secara selamat di alam maya.
“Usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman ‘scammer’ perlu diteruskan secara berterusan agar masyarakat tidak menjadi mangsa penipuan siber yang kian canggih,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Taklimat Kesedaran ICT: Kecerdasan Buatan (AI) Keselamatan ICT Dan Scam bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, di Taman Sayang Selasih, hari ini.
Menurut Ban Hong, penganjuran WRUR DUN Klebang terus mendapat sambutan menggalakkan apabila semakin ramai penduduk melihatnya sebagai platform merapatkan jurang Kerajaan Negeri dengan rakyat.
“Pendekatan berkonsepkan ‘turun padang’ ini juga mempercepatkan proses penyampaian maklumat serta pelaksanaan inisiatif Kerajaan Megeri di peringkat komuniti.
“WRUR ini menjadi ruang kita mendengar sendiri suara dan keluhan rakyat daripada semua lapisan masyarakat. Jika pada hari biasa mereka sukar berurusan dengan agensi tertentu, melalui WRUR jabatan atau agensi berkaitan yang datang kepada mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


