
PENDAKI MAUT DI GUNUNG LIANG: POLIS TAHAN DUA MALIM GUNUNG BANTU SIASATAN
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari yang berkata semakan mendapati kumpulan itu hanya mempunyai permit sah bagi laluan di Bukit Fraser, Pahang iaitu lokasi mereka memulakan aktiviti mendaki.
“Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, bagaimanapun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan permit dan kebenaran sebelum melakukan aktiviti pendakian terutama bagi laluan yang merentasi sempadan negeri untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Mohammad Azlin berkata mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia kerana masalah kesihatan dan bukan disebabkan jatuh.
“Mangsa sebelum itu mengalami kecederaan dan apabila kesemua pendaki turun, hanya mangsa yang tidak muncul,” katanya.
Mohammad Azlin berkata mangsa mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser menuju ke puncak sebelum turun melalui laluan Gunung Liang.
Beliau berkata usaha membawa turun mayat sedang dijalankan pihak berkuasa bersama-sama pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Semalam, JBPM Perak memaklumkan mangsa yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat pada 3.30 petang, dan usaha membawa turun mayat dilakukan hari ini.
– BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.