
MELAKA BELANJA LEBIH RM600,000 BAIK PULIH 39 RUMAH SEJAK 1 JANUARI LEPAS
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata kesemua rumah berkenaan membabitkan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka termasuk di DUN Klebang bagi memastikan rakyat menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat.
“Kos bagi pembaikan sesebuah rumah bergantung pada jenis kerosakan dan sebagai contoh dua rumah yang dibaiki dalam DUN Klebang yang diserahkan hari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000,” katanya kepada pemberita di Kampung Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Melaka Rumahku (Baik Pulih) oleh LPM sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.
Rais berkata kebanyakan rumah yang dibaiki uzur atau usang dan kebanyakan kerosakan adalah pada bahagian bumbung sehingga menyebabkan tidak selamat didiami.
Beliau berkata Program Melaka Rumahku (Bina Baharu) turut dilaksanakan di bawah LPM iaitu sebanyak RM1.3 juta dibelanjakan bagi pembinaan pelbagai kategori rumah baharu bagi memastikan rakyat negeri itu dapat memiliki rumah sendiri.
Sementara itu, penerima Program Melaka Rumahku (Baik Pulih) Poniah Ahmad, 75, berkata beliau bersyukur kerana doanya untuk mendapat rumah yang lebih selesa dimakbulkan setelah sebahagian besar bumbung rumahnya rosak dan bocor sejak tiga tahun lepas sehingga menyebabkannya tidak lena tidur terutama pada waktu hujan atau angin kuat.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata rumah berkenaan telah mencecah usia lebih 50 tahun dan anak-anak tidak mampu untuk membaiki kerosakan tersebut disebabkan kesukaran hidup.
“Dalam rumah ini, saya tinggal bersama dua cucu dan empat anak termasuk seorang ibu tunggal dan saya hanya bergantung hidup kepadanya.
“Syukur Alhamdulillah, kesusahan kami mendapat perhatian ADUN Kelebang dan kerajaan negeri serta LPM yang membantu membaiki bumbung rumah yang rosak,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.