
WRUR: PASAR 25 TAHUN BATANG TIGA DINAIK TARAF PASAR WILAYAH KLEBANG
KLEBANG 17 Oktober – Pasar Batang Tiga yang telah berusia lebih 25 tahun bakal dinaik taraf menjadi sebuah pasar yang lebih moden di sebuah lokasi baharu yang lebih selesa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pasar baharu itu bakal memberi satu nafas baharu bukan sahaja kepada peniaga di pasar berkenaan bahkan buat lebih 39,800 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Menurut beliau, pembinaan pasar awam baharu yang bersaiz 28.8 meter panjang dan 9 meter lebar itu dijangka akan bermula pada November 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026, dengan kos keseluruhan berjumlah RM750,000.
Jelas beliau, ia akan dibina berhampiran dengan Medan Selera Terbuka Klebang, dengan menampilkan reka bentuk yang lebih mampan dan mesra alam, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempertingkatkan mutu kemudahan awam yang efisien dan lestari.
“Telah tiba masanya untuk peniaga ini berniaga dalam suasana yang lebih selesa, bersih dan moden. Nyata, pembinaan baharu ini adalah manifestasi penghargaan kepada penggiat ekonomi tempatan yang teguh bertahan selama ini demi kelangsungan rezeki.
“Maka, projek ini bukan sahaja tentang bangunan baru, ia adalah sebahagian daripada inisiatif pembangunan infrastruktur awam negeri secara menyeluruh, yang akan
menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Cadangan Pembinaan Baharu Pasar Awam Batang Tiga, Klebang Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Pasar Awam Batang Tiga, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, berdasarkan pelan reka bentuk baharu pasar berkenaan, ia dijangka mampu memuatkan sebanyak 13 unit ruang niaga, yang merangkumi lapan unit pasar basah, dua unit gerai buah-buahan, serta tiga unit gerai makanan.
“Tidak sekadar itu, aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti juga menjadi keutamaan, dengan memastikan setiap fasiliti yang dibina mematuhi piawaian keselamatan serta kesihatan awam yang ditetapkan.
“Saya yakin, projek ini juga akan menjadi nilai tambah kepada perkembangan ekonomi setempat, khususnya dalam memperkukuh aktiviti perniagaan kecil dan sederhana yang benar-benar memberi manfaat langsung kepada penduduk sekitar DUN Klebang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.