
AMANAT KM BERI INSPIRASI CALON SPM MELAKA UNTUK CEMERLANG
ALOR GAJAH 26 Oktober – Amanat disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memberi inspirasi kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 untuk terus berusaha mencapai keputusan cemerlang.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Nur Huda Aliyah Ahmad Saufi, 17, kata-kata motivasi dikongsikan Ketua Menteri mendorongnya untuk lebih fokus dan bersemangat dalam pelajaran.
“Saya rasa amanat Ketua Menteri menjadi cabaran untuk saya belajar rajin-rajin dan berusaha mendapat semua A dalam peperiksaan SPM,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Nur Ainul Mardhiah Mohamad Majib, 17, berkata setiap ucapan disampaikan Ketua Menteri menjadi pembakar semangat terhadap dirinya.
“Beliau (Ab Rauf) memberi suntikan semangat untuk calon SPM terus berjaya. Apabila beliau sebut pelajar yang dapat A Bahasa Melayu dan Sejarah akan menerima RM200, itu satu motivasi untuk saya.
“Sebagai anak sulung daripada lima beradik, saya juga mahu menjadi contoh kepada adik-adik,” katanya.
Sementara itu, Guru Kecemerlangan SPM SMK Munshi Abdullah, Norimah Osman berkata, amanat Ketua Menteri memberi kesan mendalam terhadap motivasi pelajar dan guru.
“Sebab itu saya bawa pelajar-pelajar saya untuk mendengar sendiri amanat beliau, supaya mereka sedar usaha tidak boleh berhenti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

