Sorting by

×

MELAKA PERKENAL PELBAGAI PRODUK PELANCONGAN BAHARU TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

DUYONG 26 Oktober – Melaka akan membawakan pelbagai produk pelancongan baharu bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia menerusi pengenalan beberapa inisiatif pelancongan baharu bagi merancakkan lagi sambutan tersebut.

Menurut beliau, antara inisiatif yang akan diperkenalkan adalah seperti pakej kombo tiket pada satu harga yang boleh memasuki ke lima produk pelancongan menarik.

“Selain itu, kita juga akan memperkenalkan pakej ‘Hop On Hop Off’ yang membolehkan pelancong memasuki ke kawasan tarikan pelancongan tanpa perlu menggunakan kenderaan, sebaliknya melalui pelayaran yang disediakan.

“Pakej ini diperkenal dengan harga yang murah dan pengunjung boleh meletakkan kenderaan di mana-mana parkir berhampiran selama tiga hari dan boleh menggunakan alternatif pengangkutan Hop On Hop Off yang disediakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Lestari Seni Budaya – Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, semua inisiatif baharu itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang yang dijadual berlangsung pada Disember depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post BINAAN BAHARU MELAKA DIBERI NAMA PAHLAWAN MELAYU – KM
Next post PELANCONG KE MELAKA MENINGKAT 25 PERATUS