Sorting by

×

PEMANCING WANITA ‘HANYIR’ DI SUNGAI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DUYONG 26 Oktober – “Memang tidak sangka ikan tilapia yang dibawa naik agak berat dan membolehkan saya memenangi hadiah wang tunai RM1,000,” itu kata Daruslina Abdullah, 48.

Daruslina, mencuri perhatian ramai apabila ikan talapia seberat 0.385 kilogram (kg) yang dipancing melayakkannya muncul naib juara pada Pertandingan Memancing Festival Sungai Melaka 2025 di Kilang Makan @ Esplanade, semalam.

Wanita berasal dari Telok Gong, Masjid Tanah itu berkata, dia menyertai pertandingan itu bersama suami, dua anak dan ipar hanya untuk mengisi masa hujung minggu selain memeriahkan penganjuran Festival Seni Selat Melaka x Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025.

“Sebelum ini saya pernah juga menyertai pertandingan tetapi ini pertama kali diumumkan antara pemenang utama iaitu di tempat kedua.

“Boleh katakan peserta agak ramai dan sesiapa sahaja boleh dapat ikan besar namun mungkin sudah rezeki apabila pada jam 10.50 pagi saya dapat menaikkan ikan tilapia hampir 0.400kg,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing di Dataran Pengkalan Rama, di sini.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris.

Menurut Daruslina, disebabkan minat suka memancing, dia tidak kekok untuk turut serta dalam pertandingan yang dimonopoli oleh kaum lelaki.

“Mungkin disebabkan selalu menyertai pertandingan memancing saya rasa tidak kekok malah seperti pertandingan ini juga terdapat beberapa peserta wanita lain yang turut sertai.

“Insya-Allah duit kemenangan ini akan dibelanjakan dengan sebaiknya selain saya juga akan belanja keluarga serta rakan untuk makan,” katanya.

Terdahulu, hon permulaan pertandingan memancing itu telah disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Johan pertandingan memancing itu menjadi milik Norazlan Azman yang mendaratkan tilapia seberat 0.395kg, sekali gus memenangi hadiah utama berupa wang tunai RM7,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post WRUR: MPAG SANTUNI ORANG DURIAN TUNGGAL
Next post WRUR: AGENSI KERAJAAN NEGERI SEMAKIN MATANG, KOMITED SELESAI ISU