Sorting by

×

WRUR: SISTEMATIK DAN PRIHATIN, ZAHARI PASTIKAN TIADA YANG TERPINGGIR

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Inisiatif turun padang Ziarah Kasih sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan kurang bernasib baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, program dilaksanakan bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu memberi tumpuan kepada lima penerima sumbangan termasuk pesakit warga emas dan penghidap barah paru-paru.

Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, program kali ini memberi fokus kepada golongan memerlukan di Kampung Gangsa.

“Kita singgah ke lima kediaman penerima, salah seorang daripadanya adalah menghidap barah paru-paru tahap empat sejak 2019. Kita telah ambil tindakan segera dengan menyediakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.

“Bagi pelaksanaan WRUR ini, saya juga minta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gangsa mengenal pasti individu lain yang ada masalah kesihatan tetapi belum pernah kita ziarahi.

“Sebenarnya sebelum WRUR lagi, program Ziarah Kasih ini sudah dilaksanakan setiap minggu berdasarkan aduan dan laporan JPKK di setiap kampung,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ziarah Kasih bersama MPHTJ di Kampung Gangsa, hari ini.

Menurut beliau, setiap lawatan Ziarah Kasih direkodkan dengan sistem data yang lengkap bagi mengelakkan pertindihan bantuan kepada penerima yang sama.

“Kita mempunyai data terperinci setiap pesakit dan golongan yang kurang berkemampuan di kawasan ini. Pejabat Khidmat DUN Durian Tunggal menyediakan pelbagai kemudahan seperti kerusi roda, tongkat dan katil untuk kegunaan mereka yang memerlukan.

“Jika ada yang terlepas pandang atau belum menerima bantuan, mereka boleh terus datang atau menghubungi saya sendiri,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2094
Kongsi :
Previous post IMAM MD YUSOF TERSENTUH DISANTUNI KETUA MENTERI