
IMAM MD YUSOF TERSENTUH DISANTUNI KETUA MENTERI
DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Dapat meluangkan masa bersembang santai bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sedikit sebanyak menggembirakan mantan imam Kampung Gangsa, Md Yusof Md Nor, kini diuji dengan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar Mei lalu.
Sebelum ini Md Yusof, 61, bertugas sebagai imam di masjid berkenaan hampir 15 tahun, namun kini dia terpaksa bergantung kepada kerusi roda selepas bahagian kanan badannya lumpuh akibat angin ahmar.
Md Yusof berkata, pada mulanya dia menyangka program ziarah itu hanya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran Ketua Menteri akan singgah ke rumah, malah beliau meluangkan masa bersembang dan bertanyakan khabar serta keadaan kesihatan saya sekarang.
“Teruja dan tersentuh atas kesudian Ketua Menteri meluangkan masa bersama saya, memang benar beliau seorang yang cakna serta prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui dikediamannya di Kampung Gangsa, di sini, hari ini.
Ziarah Kasih berkenaan adalah bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Hadir sama Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Bapa kepada empat anak itu juga berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana menyumbang kerusi roda elektrik untuk memudahkan urusan hariannya.
“Bersyukur kepada Allah SWT atas sumbangan itu dan saya amat hargai, diharap ia akan memudahkan pergerakan harian,” katanya.
Pada program itu Ab Rauf singgah menyantuni tiga golongan kurang bernasib baik sekitar Kampung Gangsa, selain bertanya khabar beliau turut menyerahkan sumbangan kit makanan kepada penerima.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


