Sorting by

×

GERBANG PANTUN MELAKA HIMPUN LEBIH 10,000 RANGKAP PANTUN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT BARU 28 Oktober – Inisiatif Gerbang Pantun Melaka berjaya menghimpunkan 10,759 rangkap pantun tradisional hasil karya rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, perkembangan itu adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pendekatan seni dan warisan agar terus hidup dalam jiwa masyarakat.

“Portal digital itu menjadi wadah menghimpun pantun warisan rakyat melalui segmen seperti 1 Kampung 1 Pantun, 1 Sekolah 1 Pantun, 1 Jabatan 1 Pantun, 1 Tok Sidang 1 Pantun dan Pantun Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Pusat Latihan dan Galeri Dondang Sayang di Perkampungan Hang Tuah, Duyong serta menganjurkan Bengkel Dondang Sayang yang akan diperluas ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

“Usaha ini menjadi pemangkin untuk menyemai rasa cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan agar terus dihayati dan dimartabatkan dalam segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post 3,278 GRADUAN DIRAIKAN PADA ISTIADAT KONVOKESYEN UTEM KE-21
Next post MBMB ANTARA EMPAT BANDARAYA CAPAI TAHAP KEDUA BANDAR PINTAR MALAYSIA