Sorting by

×

LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA 2025 LEBIH MERIAH

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 November – Kira-kira 20,000 peserta dijangka akan memeriahkan Larian Budaya Antarabangsa DUYONGkita 2025 yang akan berlangsung di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, penyertaan larian itu akan mula dibuka hari ini (1 November 2025) termasuk pengumuman berkaitan larian.

“Kita jangkakan penyertaan sehingga 20,000 namun bagi pendaftaran awal akan dibuka untuk 10,000 orang sebelum dibuat secara berperingkat sehingga ke jumlah sasaran diletakkan.

“Konsepnya masih sama namun sudah pasti akan ada penambahbaikan daripada penganjuran sebelumnya bagi keselesaan peserta kerana kita menerima segala teguran yang disuarakan.

“Malah bagi penganjuran 2025 laluannya tidak sama seperti tahun lalu kerana terdapat sedikit perubahan yang mana akan libatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen lain dengan jarak lebih lima kilometer,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi hos Program ‘Sembang Santai’ Kesedaran Jenayah Kewangan Bersama Tiktokers Negeri Melaka sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, semalam.

Terdahulu, majlis perasmian program itu disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan hadir sama Adun Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, sama seperti tahun lalu, pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik bakal menanti peserta termasuklah beberapa buah motosikal.

“Untuk penajaan hadiah cabutan bertuah yang diterima kita akan umumkan dari semasa ke semasa seperti dibuat pada tahun lepas.

“Jika tahun lepas terdapat lima buah motosikal sebagai hadiah cabutan bertuah pastinya penganjuran kali ini jumlah itu akan bertambah, malah kita masih menunggu penajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

517
Kongsi :
Previous post WRUR: SAYUR SEGAR, MURAH DARI KEBUN KOMUNITI TAMAN ANGKASA NURI
Next post ECO CRUISE SUNGAI RAMBAI DILANCAR TAHUN DEPAN