
WRUR: TAPEM SUNTIK SEMANGAT ANAK MELAKA CEMERLANG AKADEMIK
DURIAN TUNGGAL 4 November – Hasrat melahirkan lebih ramai anak tempatan cemerlang dalam akademik menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) terbukti mendapat maklum balas amat positif dalam kalangan anak muda.
Muhammad Danish Anagi Ramli, 18, amat menghargai bantuan disalurkan oleh Kerajaan Negeri menerusi TAPEM dan dianggap sebagai satu bentuk suntikan semangat buat dirinya untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Penuntut kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Melaka ini berkata bantuan yang diterima membolehkan dia membuat perancangan kewangan melibatkan hal-hal perbelanjaannya sepanjang mengikuti pengajian di institusi teknikal itu.
“Mengikut perancangan saya akan menggunakan wang hasil bantuan diterima untuk membayar yuran pengajian bagi semester hadapan. Sekurang-kurangnya sudah selesai satu perkara yang pada masa sama meringakan beban ibu dan bapa saya.
“Sebagai anak Melaka saya berasa amat beruntung kerana Kerajaan Negeri Menyediakan inisiatif seperti ini untuk kami semua,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil.
Serahan itu berlangsung serentak dengan Hari Aduan Rakyat Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, pada Ahad.
Sementara itu Siti Aida Syakira Mohd Khairol, 27, mewakili adiknya Iman Firmanika Mohd, 20, turut memuji dan menganggap inisiatif itu akan memberikan impak besar kepada sektor pendidikan Melaka bagi tempoh jangka masa panjang.
“Saya mewakili adik yang sekarang ini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Anak Melaka perlu memanfaatkan sepenuhnya sumbangan disediakan buat mereka, sedikit sebanyak dapat menampung kos pengajian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


