Sorting by

×

WRUR: PERSIMPANGAN BULATAN PANTAI BELIMBING ATASI KESESAKAN TRAFIK

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 November – Isu kesesakan trafik membelenggu penduduk Pantai Belimbing akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing siap sepenuhnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata projek yang menelan kos RM2.6 juta itu telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bermula 26 Oktober 2024 dan siap sepenuhnya pada 7 Oktober lalu.

Katanya, pelaksanaan projek itu merupakan bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan infrastruktur berkualiti tinggi dan selamat kepada rakyat.

“Isu kesesakan di Pantai Belimbing ini telah lama menjadi keluhan masyarakat dan penduduk setempat, terutama mereka yang berulang-alik setiap hari di laluan utama dari Jalan Alor Gajah Lama ke Pantai Belimbing.

“Pelaksanaan projek ini memberi impak besar terhadap penyuraian trafik apabila waktu puncak yang mana dianggarkan lebih 1,500 hingga ke 5,000 kenderaan menggunakan laluan ini setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing dan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi, dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Mohamad Salzeli Moktar; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sentiasa cakna dengan keluh kesah penduduk setempat dan menjanjikan kesan yang positif terhadap projek tersebut.

“Pelaksanaan projek ini juga bukan sahaja memberi impak kepada peniaga kecil yang mencari rezeki bahkan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah menggunakan laluan ini turut mampu menarik nafas lega.

“Saya yakin projek ini mewujudkan aliran trafik yang lebih lancar dan perjalanan lebih selamat sekali gus menjadikan kawasan ini lebih kondusif untuk pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post WRUR: SEPAKAT KEKALKAN AKTIVITI REWANG, PERTAHAN STATUS KAMPUNG TRADISIONAL
Next post WRUR: 163 PERMOHONAN TANAH KERAJAAN DILULUSKAN DI DAERAH ALOR GAJAH