Sorting by

×

MUHAMMAD ZAHIRUDDIN KOMITED PACU JASIN MENUJU MASA DEPAN PINTAR

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 5 November – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari bertekad memperkukuh visi dan misi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu bagi menjadikan Jasin sebagai bandar pintar dan lestari.

Beliau berkata, amanah diberikan Kerajaan Negeri akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk memperkukuh pembangunan berteraskan kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kepercayaan diberikan. Insya-Allah MPJ akan memberi tumpuan kepada ‘ease of doing business’ serta memperkukuh sistem pengurusan dalam MPJ.

“Saya juga bertuah kerana mempunyai pasukan yang kuat dan komited,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua MPJ disaksikan Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, di sini, semalam.

6075457014197848889
MUHAMMAD ZAHIRUDDIN

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Muhammad Zahiruddin, tumpuan pentadbirannya adalah meneruskan fasa kedua pelaksanaan ‘Smart City’ di bawah MPJ yang kini sedang membangunkan ‘command centre’ bagi menyokong aspirasi Kerajaan Negeri ke arah bandar pintar.

“MPJ telah menerima penarafan Smart City Early Adopter sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 di Putrajaya baru-baru ini dan kita akan teruskan pelan induk ini secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata, konsep bandar pintar bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi meliputi usaha memudahkan urusan, meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

“Pelaksanaan agenda ini memerlukan kerjasama erat dengan pelabur dan pihak swasta bagi menambah baik infrastruktur serta kemudahan di Jasin tanpa menjejaskan kelestarian sumber air bersih negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post PENIAGA DURIAN MAUT JATUH DARI TINGKAT EMPAT
Next post MELAKA PERKUKUH EKOSISTEM DIGITAL, PERKASA PEMBANGUNAN DATA