Sorting by

×

WRUR: MPAG PERUNTUK RM490,000 BAIKI, BINA RUMAH KELUARGA MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 November – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperuntukkan sebanyak RM490,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih serta pembinaan rumah baharu untuk penduduk dalam kawasan pentadbirannya tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata sebanyak 14 rumah telah siap dibaik pulih, manakala tiga lagi rumah baharu dibina menerusi program Masyarakat Di Hati MPAG 2025.

Katanya, inisiatif itu menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam membantu golongan memerlukan, termasuk warga emas dan ibu tunggal yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan.

“Sebagai contoh, di Durian Tunggal, tiga buah rumah baharu dibina dengan kos keseluruhan RM180,000 bagi memastikan penduduk dapat menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat.

“Kita menyantuni dua penerima yang terpilih melalui kerja-kerja khidmat komuniti iaitu membaiki, membersih dannmemulihkan rumah agar lebih selesa didiami.

“Penggantian peralatan elektrik asas seperti kipas syiling, plug, soket dan lampu pencahayaan serta membantu pembersihan persekitaran rumah diharap dapat menceriakan suasana dan memberi sinar baharu kepada keluarga yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Masyarakat Di Hati MPAG Tahun 2025 di Kampung Pulau sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Yang Dipertua MPAG TPr. Datuk Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, program itu memberi tumpuan kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, MPAG berhasrat membantu meringankan beban hidup serta
menyemarakkan kembali harapan dalam kehidupan penerima.

“Kita turun ke lapangan bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab, tetapi sebagai anggota masyarakat yang berkongsi rasa dan keprihatinan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post WRUR: BELIMBING DALAM ‘KAMPUNG PERTANIAN’ DUN DURIAN TUNGGAL
Next post WRUR: SENTUHAN JIWA CIKGU ZAIDI DALAM SENI KHAT